
Lelaki amuk di universiti disahkan warga Korea
BLACKSBURG: Lelaki yang mengamuk dan menembak mati 32 orang sebelum membunuh diri di Universiti Virginia Tech adalah seorang pelajar pusat pengajian itu yang dikenali sebagai Cho Seung-Hui, warga Korea Selatan.
Cho, 23, adalah pelajar kesusasteraan Inggeris, kata polis, semalam, yang tidak menjelaskan motif serangan itu, pertumpahan darah terburuk dalam sejarah Amerika Syarikat.
Polis berkata, dua senapang ditemui di dua lokasi tembakan di kampus itu dan pelajar Korea Selatan itu dipercayai bertanggungjawab buat masa ini.
Sebelum ini, laporan mengatakan lelaki yang melepaskan tembakan itu berketurunan Asia dan dipercayai mengamuk berikutan ditinggalkan kekasihnya, manakala satu laporan lagi mengatakan penyerang berkenaan berperawakan Cina dan berada di Amerika Syarikat menggunakan visa pelajar.
Sebuah akhbar tempatan melaporkan, lelaki yang mengamuk awal kelmarin dan turut mencederakan 30 lagi itu, ditinggalkan kekasihnya, juga seorang pelajar di universiti berkenaan.
Lelaki itu berseluar jeans dan jaket biru serta membawa senapang patah 9 milimeter .22 kaliber tanpa nombor siri.
Saksi berkata, penyerang kelihatan tenang dan tidak menunjukkan emosi ketika melepaskan tembakan sebelum membunuh diri dengan menembak diri sendiri sewaktu polis menghampirinya, lapor akhbar The Washington Post.
“Penyerang berpakaian seperti seorang pengakap,” kata seorang pelajar yang berpura-pura mati ketika penyerang menembak sekumpulan pelajar dalam kelas.
Keadaan menjadi kacau bilau dan ada pelajar cuba terjun dari tingkap tingkat dua manakala pelajar lain meletakkan hadangan di pintu masuk kelas bagi menghalang penyerang masuk. – Agensi
Setakat ini, penyiasat belum menuduh penyerang ada hubungan dengan mana-mana kumpulan pengganas. Malaysia mempunyai lima pelajar di universiti berkenaan tetapi mereka selamat.
Beberapa pelajar yang ditemui media berkata, lelaki itu mulanya membunuh bekas kekasihnya dan teman lelaki baru wanita itu.
Kejadian berdarah itu bermula pada 7.15 pagi waktu tempatan apabila tembakan dilepaskan di asrama West Ambler Johnston yang menempatkan 895 pelajar. Berikutan itu, pelajar dilarang keluar ketika anggota polis mula masuk bagi memburu penyerang.
Bagaimanapun, dua jam kemudian, penembak itu muncul di bangunan kajian kejuruteraan dan melepaskan tembakan demi tembakan secara rambang ke dalam kelas.
Ini adalah kali kedua dalam tempoh kurang setahun kejadian tembakan berlaku di Virginia Tech dan insiden amuk terburuk dalam sejarah Amerika Syarikat.
Kejadian pertama adalah pada Ogos 2006 apabila seorang banduan yang lari dari penjara membunuh seorang pengawal hospital dekat institusi pengajian tinggi itu dan memasuki kawasan Virginia Tech.
Universiti itu mempunyai 26,000 pelajar dan kira-kira 386 kilometer dari Washington.
Presiden Virginia Tech, Charles Steger mengesahkan penyerang berkenaan adalah pelajar universiti itu.
“Kami tahu dia adalah lelaki Asia yang menginap di salah sebuah asrama di kampus ini,” kata Steger kepada CNN. – Agensi
mfa: tragedi ..... terlampau ikutkan perasaan .....
Tragedi Amuk di Universiti Virginia Tech U.S.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)









0 comments:
Post a Comment